Media OutReach - 17 Januari 2020 - MSIG Insurance (Malaysia) Bhd "(MSIG Malaysia)", telah bekerjasama dengan MyKasih untuk memperuntukkan dermasiswa sebanyak RM720 setahun (setiap seorang) kepada 130 pelajar di dua buah sekolah di Sabah dan Selangor.
KUALA LUMPUR, MALAYSIA -Program yang dibangunkan hasil daripada penglibatan MSIG dalam FINCO (Financial Industry Collective Outreach) ini memberi tumpuan kepada kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan dalam kumpulan pendapatan B40. Para pelajar penerima bantuan diberikan pertolongan dalam bentuk dermasiswa tanpa tunai melalui kad pintar tanpa sentuh MyKasih. Setelah berdaftar, elaun perbelanjaan sebanyak RM30 akan didepositkan dua kali sebulan. Pelajar boleh membelanjakan elaun ini dengan menggunakan kad pintar pelajar MyKasih untuk membayar pembelian buku dan alat tulis sekolah dari kedai buku sekolah, serta makanan dari kantin sekolah. Setiap tahun juga, para pelajar akan dinilai semula dari segi kehadiran dan prestasi akademik secara keseluruhan sebagai sebahagian daripada skim dermasiswa ini.
Encik Chua Seck Guan, Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Malaysia berkata, "MSIG gembira dapat bekerjasama dengan MyKasih dan FINCO untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan ini serta keluarga mereka. Kami adalah penyokong Matlamat Pembangunan Mampan PBB 4, yang memberi tumpuan kepada mewujudkan peluang pendidikan yang inklusif dan saksama untuk semua. Kami berharap agar dermasiswa ini dapat membantu kanak-kanak ini memberi tumpuan kepada pendidikan mereka, tanpa perlu bimbang tentang keperluan asas yang dianggap remeh oleh kanak-kanak yang lebih bernasib baik".
MSIG akan membantu 80 pelajar di SK Babagon Toki, Kota Kinabalu, Sabah (seluruh sekolah) dan 50 pelajar terpilih di SJKC Damansara, Damansara, Selangor. Sebagai sebahagian daripada program 'Cinta Sekolah Saya', MyKasih akan bekerjasama dengan kanak-kanak dan ibu bapa mereka untuk memastikan bahawa dermasiswa tersebut dibelanjakan secara bertanggungjawab.
"Sebagai salah satu penanggung insurans am terkemuka di Malaysia, kami kagum dengan cara program MyKasih ini membantu mendidik kanak-kanak dan keluarga mereka mengenai manfaat perancangan dan belanjawan kewangan yang berhemat dan kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan mereka dan FINCO dalam membangunkan program ini", kata En. Chua.
"Kami berterima kasih kepada pihak MSIG dan FINCO kerana memilih kami sebagai rakan kerjasama mereka dalam membantu kanak-kanak yang memerlukan di sekolah. Pendidikan adalah bidang utama usaha MyKasih. Selain membantu pelajar dengan dermasiswa tanpa tunai, kami juga menyediakan makmal komputer, peralatan robotik, projek kebun makanan akuaponik, program pembangunan sukan di sekolah, serta kelas Bahasa Inggeris, kelas muzik dan kelas celik kewangan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka. Para pelajar juga tidak perlu lagi bimbang tentang makanan sekolah harian dan keperluan pembelajaran mereka. Perkara ini membolehkan mereka memberi tumpuan lebih kepada pelajaran. Bersandarkan kejayaan akademik yang lebih baik, kami berharap program ini membolehkan mereka meraih peluang yang lebih baik pada masa depan, dan seterusnya memecahkan kitaran kemiskinan", kata Pengerusi Yayasan MyKasih dan Pengasas bersama, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat.
Selain sumbangan kewangan, MSIG juga akan bekerjasama dengan FINCO dan MyKasih untuk membangunkan aktiviti yang bermakna di sekolah-sekolah. Kakitangan MSIG boleh menyertai secara langsung, di mana mereka boleh berkongsi masa dan pengalaman untuk mencipta nilai tambah kepada sekolah-sekolah dan para pelajar yang berkenaan.
Clare Walker, Ketua Pegawai Eksekutif FINCO menambah, "Ini ialah satu inisiatif yang hebat daripada MSIG dan contoh terbaik pendekatan FINCO dalam bekerjasama dengan industri kewangan bagi menyokong golongan muda. Dengan memastikan keperluan harian kanak-kanak ini telah diurus dengan baik bermakna mereka dapat memberikan tumpuan kepada pendidikan mereka dengan lebih baik dan berusaha ke arah mencapai potensi penuh mereka".
Program ini merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif kemampanan yang telah dilakukan oleh MSIG Malaysia pada tahun lalu. Contoh lain termasuk sokongan MSIG kepada beberapa jurugambar kurang upaya penglihatan, penajaan anggota badan prostetik untuk mangsa kemalangan jalan raya, penciptaan produk insurans khusus untuk perusahaan sosial dan kerjasama dengan EPIC Homes, yang bertujuan untuk menyediakan perumahan bagi masyarakat Orang Asli yang terpinggir. Kesemua inisiatif ini dihubungkan menerusi sokongan MSIG untuk Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah membimbing dan menumpukan usaha berterusan kemampanan syarikat tersebut pada tahun 2019.