MSIG Melancarkan Insurans Cyber SafeGuard Untuk melindungi Perniagaan Malaysia Daripada Ancaman Siber Yang Menular

KUALA LUMPUR, MALAYSIA - Media OutReach - 13 Ogos 2019 - MSIG Insurance (Malaysia) Bhd "(MSIG Malaysia)", telah melancarkan Cyber SafeGuard, produk insurans yang direka khas untuk melindungi perniagaan tanpa mengira saiz daripada pelbagai risiko siber yang semakin menular di rantau ASEAN.

 

Di samping perlindungan kewangan asas yang biasanya diberikan oleh kebanyakan jenis insurans lain, Cyber Safeguard menawarkan satu lagi kelebihan dengan memberi pelanggan akses serta-merta kepada perkhidmatan sokongan operasi dan pakar teknikal sekiranya berlaku pencerobohan keselamatan.

 

MSIG berganding bahu dengan pakar insurans siber terkenal, MS Amlin, yang seperti MSIG ialah ahli Kumpulan Insurans MS&AD -- salah sebuah kumpulan insurans am terbesar di dunia -- untuk menawarkan perlindungan ini. MS Amlin telah bekerjasama rapat dengan firma guaman antarabangsa untuk membentuk panel pakar keselamatan siber yang sedia ada kepada pelanggan untuk memberikan bantuan operasi komprehensif sekiranya berlaku serangan siber.

 

CyberSecurity Malaysia, pakar keselamatan siber kebangsaan dan agensi teknikal di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), baru-baru ini melaporkan bahawa sejumlah 2,977 insiden keselamatan siber yang melibatkan penipuan, pencerobohan dan kod berniat jahat telah dicatatkan di Malaysia antara Januari dan April 2019.

 

En. Chua Seck Guan, Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Malaysia, berkata, "Keselamatan siber kini menjadi isu yang semakin dikhuatiri, terutamanya perniagaan bersaiz kecil dan sederhana yang semakin kerap menjadi sasaran. Kebanyakan syarikat tersenarai besar kini mempunyai sistem keselamatan siber yang memuaskan, tetapi masih banyak perniagaan kecil yang tidak mempunyai sumber yang sebanding untuk diperuntukkan bagi melindungi keselamatan. Penjenayah siber sering melihat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai pengantara untuk mencerobohi sistem pelanggan mereka yang lebih besar dalam rantaian bekalan."

 

Beliau menyambung, "Sebagai contoh, kami telah melihat trend yang semakin ketara di mana penjenayah siber memberi tumpuan terhadap perniagaan perkhidmatan profesional yang lebih kecil, seperti firma perakaunan dan guaman, untuk menggunakan data mereka untuk tujuan memeras ugut dan mengintip. Peruncit dalam talian sentiasa menjadi sasaran, tetapi penggodam kini meluaskan akses mereka dan juga beralih kepada syarikat penjagaan kesihatan, pendidikan dan juga syarikat makanan dan minuman untuk mengumpulkan data pelanggan yang mungkin bersifat sensitif. Kos yang mungkin perlu ditampung untuk menangani pencerobohan tersebut telah meningkat dengan ketara dengan penguatkuasaan undang-undang perlindungan data peribadi di kebanyakan pasaran. Ini bermakna bahawa banyak syarikat perniagaan Malaysia yang mempunyai pelanggan antarabangsa berpotensi menghadapi tuntutan besar di bawah undang-undang sekiranya berlaku pencerobohan data. Kos menangani insiden keselamatan siber -- khususnya bagi PKS -- boleh menjejaskan aliran tunai dengan ketara dan berpotensi membinasakan sepenuhnya sesebuah perniagaan."

 

"Penggodam masa kini mempunyai tahap kecanggihan yang lebih tinggi. Mereka kini lebih fokus dan sering meluangkan lebih banyak masa di dalam sistem syarikat; lebih lama sesebuah syarikat terdedah, lebih tinggi kos yang akhirnya perlu ditanggung. Sebab itulah insurans yang kami tawarkan bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan kepada syarikat, tetapi juga memberikan akses kepada sokongan teknikal berkualiti untuk membantu menyiasat, bertindak balas, mengembalikan dan memulihkan operasi.  Pada hakikatnya banyak pelanggan membeli insurans kerana keupayaan mendapatkan perkhidmatan panel pakar keselamatan siber bertaraf dunia selain ketenangan fikiran yang diberikan dari segi perlindungan kewangan."

 

Perlindungan asas Cyber SafeGuard MSIG termasuk sokongan untuk melantik syarikat pakar forensik IT, kos perunding perhubungan awam untuk pengurusan krisis reputasi, kos firma guaman untuk menasihatkan hal kewajipan kewangan, kos pemulihan, kerugian akibat gangguan, tuntutan liabiliti, kerugian peras ugut dan kos kawal selia.  Terdapat juga beberapa pilihan naik taraf yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk menambah perlindungan berasaskan keadaan dan keperluan masing-masing.

 

Insurans ini disediakan untuk semua saiz perniagaan dan premium bergantung pada skala perlindungan yang diperlukan dan juga taraf semasa perniagaan berkaitan dengan pengurusan data dan sistem kesinambungan perniagaan. Perniagaan yang boleh menunjukkan bahawa mereka mematuhi amalan keselamatan terbaik, umpamanya dengan mengenkripsi data dan menyusun rancangan pemulihan bencana dan kesinambungan perniagaan, akan mendapat lebih manfaat kerana harga insurans akan dilaraskan dengan sewajarnya.

 

En. Chua menambah, "Syarikat perniagaan di Malaysia, secara khususnya PKS perlulah mempertimbangkan kepentingan dan keperluan insurans untuk melindungi mereka daripada ancaman siber. Setiap hari terdapat laporan tentang keupayaan penjenayah siber yang semakin meningkat dan untuk setiap berita yang disiarkan, ada sepuluh lagi yang tidak dipaparkan. Syarikat-syarikat besar mungkin mempunyai keupayaan teknikal dan sumber kewangan untuk menangani masalah keselamatan, tetapi isu seperti ini boleh mengancam kelangsungan operasi sesebuah perniagaan kecil."

 

Beliau menyambung, "Kami telah berusaha gigih untuk menjadikan polisi ini jelas, mudah difahami dan fleksibel dengan panel pakar untuk memberi nasihat kepada pelanggan, dalam jangka masa pantas dengan sistem sebut harga, tuntutan dan pembayaran yang cemerlang. Semua ini bermakna kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyokong keperluan pelanggan kami sekiranya mereka mengalami insiden keselamatan siber.

 

Untuk maklumat lanjut tentang insurans Cyber SafeGuard MSIG sila layari https://www.msig.com.my/business-insurance/products/cyber-safeguard atau hubungi broker insurans MSIG.


Talk to Media OutReach today

Let Media OutReach help you achieve your communication goals. Send an email to info@media-outreach.com or click below. You will receive a response within 24 hours.

Contact us now