KUALA LUMPUR, MALAYSIA - Media
OutReach - 9 Disember 2019
- MSIG Insurance (Malaysia) Bhd "(MSIG
Malaysia)", telah bekerjasama dengan empat jurugambar kurang upaya penglihatan untuk
menghasilkan kalendar korporatnya bagi tahun 2020. Kalendar bertemakan
keselamatan jalan raya ini memaparkan 12 gambar yang unik dan menarik bertujuan
untuk membantu masyarakat memikirkan soal keselamatan perjalanan dari sudut
yang berbeza.
Empat karyawan tersebut, dengan tahap penglihatan
yang berbeza, perlu bergantung kepada deria lain mereka untuk menghasilkan imej
yang menarik dan luar biasa, dan dalam situasi ini mereka menekankan isu
keselamatan jalan raya, memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa perjalanan
yang selamat membawa makna yang berbeza bagi setiap individu. Mereka berempat telah
dipilih daripada program perintis Fotografi Deria yang dianjurkan oleh Pakatan Plus Community (pertama di Malaysia), berdasarkan
keupayaan mereka dari segi visualisasi dan konsep.
En. Chua Seck Guan, Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Malaysia, berkata, "Sebagai
salah sebuah syarikat insurans motor terbesar di Malaysia dan penyokong
Matlamat Pembangunan Mampan
Bangsa-Bangsa Bersatu 3, kami berusaha sedaya
upaya untuk meningkatkan kesedaran tentang isu keselamatan jalan raya dengan
satu matlamat mutlak iaitu untuk mengurangkan separuh angka kemalangan jalan
raya menjelang 2020. Kalendar ini adalah salah satu daripada beberapa inisiatif
yang kami laksanakan untuk memberi perhatian kepada topik ini. Kami berbesar
hati bekerjasama dengan komuniti kurang upaya penglihatan, sekaligus membuka peluang
bagi mereka menyertai projek ini, dengan mengetengahkan bakat, menyuarakan
pandangan dan menarik perhatian khalayak baharu kepada hasil seni mereka."
Sebanyak 12 imej telah dirakam dari seluruh
Malaysia untuk menyampaikan kisah visual berserta keterangan bergambar menarik
bagi menzahirkan pemikiran jurugambar ketika mengambil setiap gambar.
En. Chua Seck Guan merumuskan, "Sekadar mencetak dan
mengedarkan kalendar tidak mencukupi untuk mencetuskan perubahan, tetapi kami
percaya sentimen yang dibawa mengenai keselamatan jalan raya akan menjadi peringatan
berguna kepada komuniti kita untuk sepanjang tahun, memastikan isu ini kekal
dalam ingatan. Kami juga menganggap inisiatif ini akan menjadi peluang untuk mendekati
dan menaikkan taraf komuniti kurang upaya penglihatan bagi menyokong Matlamat
Pembangunan Mampan
Bangsa-Bangsa Bersatu 11, iaitu memberi tumpuan mencipta
peluang bagi semua."
Empat
jurugambar yang menyumbang kepada koleksi kalendar 2020 MSIG adalah termasuk:
Rashidi
Bin Abdullah -- Mengalami masalah
penglihatan terowong dan penglihatan yang semakin merosot, Rashidi tertarik dengan
ilusi bentuk dan perspektif dalam fotografinya. Beliau merakamkan kisah baharu berkenaan
dengan manusia dan corak yang menarik. Rashidi telah menulis sebuah buku
'Monolog Budak Buta' yang menggabungkan puisi dan fotografi bagi memaparkan
pengalamannya sebagai seorang insan yang kurang upaya, dan sebagai seorang
penceramah motivasi yang kerap memberi syarahan di pusat tahanan juvana.
Vivian
Kwek Chu Lan -- Walaupun mempunyai
tahap penglihatan sangat rendah dan penglihatan malam yang amat terjejas, Vivian
meminati fotografi luaran. Beliau sentiasa berfikiran jauh, merakam dunia dan
manusia yang hidup dalamnya. Vivian merupakan penganjur dan penyelaras aktiviti
bagi komuniti Orang Kurang Upaya Penglihatan
(Visually Impaired Persons - VIP).
Svivabalan
A/L Selvarajan -- Kekurangan upaya penglihatan
Sviva membataskan penglihatannya kepada bentuk yang kabur dan pengecaman dibuat
dengan melihat dari jarak sangat dekat. Sebagai seorang jurugambar, beliau suka
berjenaka dan bereksperimen dengan komposisi luar biasa dalam ruang umum. Sviva
juga amat suka bermain catur dan bercita-cita menjadi jaguh catur. Beliau telah
menyertai SUKMA sebagai pemain catur.
Theng
Tze Young -- Buta sepenuhnya sejak
terlibat dengan kemalangan kereta, Theng menjadi teladan walaupun terpaksa menempuh
pelbagai cabaran hidup, kejayaan luar biasa masih boleh dikecapi. Berpandukan deria
sentuh dan dengar, beliau sentiasa menggunakan emosi sebagai kanta dirinya. Penglibatan
beliau dalam bidang fotografi deria adalah untuk menjadi contoh kepada anaknya
dan menunjukkan bahawa anda mampu mengatasi cabaran untuk mencapai impian anda.
Untuk melihat versi digital Kalendar MSIG Malaysia
2020 dan karya fotografi yang terkandung di dalamnya, sila layari https://www.msig.com.my/about/news-media/visually-impaired-photographers-contribute-their-intuitive-talents-to-msigs-2020-calendar
The issuer is solely responsible for the content of this announcement.